PRN Negeri Sembilan : Jangan raih undi dengan bakar sentimen perkauman – Fahmi

UNDANG-undang sedia ada disifatkan mencukupi untuk menangani unsur politik kebencian dan ucapan berbaur hasutan, namun semua pihak perlu bertindak lebih matang dengan tidak mengeksploitasi isu sensitif demi meraih sokongan politik.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan undang-undang pernah diambil terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023, sekali gus membuktikan peruntukan sedia ada memadai.

Menurut beliau, isu lebih utama ialah memastikan ahli politik tidak menggunakan sentimen perkauman, agama dan kebencian sebagai modal untuk meraih undi.

“Undang-undang sedia ada mencukupi. Kita pernah lihat sewaktu PRN 2023 apabila terdapat pemimpin yang dihadapkan ke mahkamah kerana kenyataan berunsur hasutan.

“Jadi saya rasa kita semua sepatutnya cukup matang dan faham bagaimana untuk mengelakkan daripada menyentuh isu-isu seperti ini. Yang lebih penting ialah jangan menggunakan isu seperti ini untuk meraih undi,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan meniupkan sentimen perkauman dan kebencian semata-mata untuk mendapatkan kuasa hanya akan merosakkan perpaduan negara.

“Seperti yang disebut sebelum ini, mungkin boleh raih undi, tetapi akhirnya ‘terbakar rumah’. Itu bukan keadaan yang baik.

“Hanya kerana mahu memegang kuasa, sanggup membakar sentimen perkauman dan merosakkan perpaduan,” katanya.

Fahmi berkata, semua pemimpin politik sepatutnya memainkan peranan menyemai perpaduan, lebih-lebih lagi ketika negara bakal menyambut Bulan Kebangsaan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Menurut beliau, bakal wakil rakyat perlu menunjukkan teladan dengan mengukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum, bukannya memecahbelahkan rakyat.

“Sudah pasti semua ketua pentadbiran negeri, wakil rakyat dan mereka yang berhasrat menjadi wakil rakyat sepatutnya keluar memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, bukan memecah-belahkan masyarakat.

“Malaysia ialah negara berbilang kaum dan keturunan. Kita sudah lama hidup bersama dan perkara itu tidak sepatutnya lagi dijadikan isu,” katanya.

Beliau turut menyifatkan reaksi tegas pelbagai pihak terhadap kenyataan berunsur kebencian yang tular baru-baru ini sebagai pengajaran supaya semua pemimpin lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan.

“Respon yang sangat keras daripada pelbagai pihak sepatutnya menjadi pengajaran kepada individu terbabit supaya mengambil iktibar daripada insiden tersebut,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img