Sasaran KDNK SG4 mencabar, perlu pelan pembangunan jelas – Pakar

SASARAN Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM723.75 bilion menjelang 2050 yang ditetapkan bagi gabungan empat negeri di bawah SG4 memerlukan pertumbuhan ekonomi ketara serta perancangan pembangunan yang jelas untuk direalisasikan.

Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan berkata, sasaran itu mencabar berdasarkan kedudukan ekonomi semasa, namun tempoh 25 tahun perlu diambil kira dalam menilai kebolehcapaian sasaran berkenaan.

Prof Madya Dr Shazida Jan Mohd Khan.

Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2025, gabungan KDNK Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis adalah sekitar RM133.4 bilion.

“Ini bermakna untuk mencapai sasaran tersebut, ekonomi SG4 perlu berkembang dengan ketara dalam tempoh sekitar 25 tahun.

“Namun, tempoh 25 tahun adalah satu tempoh yang panjang. Justeru, kita tidak seharusnya menilai kebolehcapaian sasaran 2050 hanya berdasarkan kadar pertumbuhan pada hari ini.

“Yang lebih penting ialah apakah trajektori pertumbuhan yang dirancang dan apakah perubahan struktur ekonomi yang akan berlaku sepanjang tempoh tersebut,” katanya kepada utusanmelayuplus.

Menurutnya, SG4 perlu mempunyai pelan pembangunan terperinci yang menterjemahkan sasaran jangka panjang kepada sasaran jangka pendek, sederhana dan panjang.

Beliau berkata, sasaran berperingkat boleh ditetapkan bagi 2030, 2035, 2040 dan 2045 sebelum menuju 2050, dengan setiap fasa mempunyai ukuran pencapaian dari segi pertumbuhan ekonomi, pelaburan, produktiviti, pembangunan sektor strategik, infrastruktur dan penciptaan pekerjaan berkualiti.

“Dengan pendekatan ini, sasaran RM723.75 bilion tidak hanya dilihat sebagai satu angka pada tahun 2050, tetapi disokong oleh trajektori pembangunan yang jelas, boleh dipantau dan boleh disesuaikan mengikut perubahan keadaan ekonomi,” katanya.

Shazida Jan berkata, SG4 perlu melakukan transformasi struktur ekonomi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dan produktiviti, selain tidak bergantung kepada struktur ekonomi sedia ada sahaja.

“Pertumbuhan tambahan perlu datang daripada pelaburan baharu, peningkatan produktiviti, pembangunan industri bernilai tambah tinggi, penggunaan teknologi, pengembangan eksport serta penciptaan pekerjaan berkemahiran dan bergaji lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pelaburan domestik juga perlu dibangunkan seiring pelaburan asing bagi memastikan perniagaan dan industri tempatan dapat meningkatkan skala, produktiviti, penggunaan teknologi serta keupayaan memasuki pasaran lebih luas.

Pada masa sama, katanya, empat negeri itu perlu mengenal pasti kekuatan ekonomi masing-masing dan membangunkan kerjasama yang dapat menghasilkan rantaian nilai saling melengkapi.

“Kedah misalnya mempunyai asas dalam pertanian, pembuatan dan E&E. Terengganu mempunyai kekuatan dalam petroleum dan gas serta potensi industri hiliran.

“Kelantan mempunyai potensi dalam sektor berasaskan sumber, agro-makanan dan ekonomi sempadan, manakala Perlis mempunyai kedudukan strategik di sempadan Malaysia-Thailand serta potensi dalam pertanian, perdagangan dan logistik,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara negeri berkenaan perlu menghasilkan nilai ekonomi yang lebih besar berbanding pembangunan secara berasingan, termasuk melalui integrasi pengeluaran, pemprosesan, teknologi, logistik, pemasaran dan eksport.

Mengulas sumber pertumbuhan baharu, Shazida Jan berkata, sumber asli seperti unsur nadir bumi (REE) boleh dimanfaatkan sebagai asas pembangunan industri bernilai tambah tinggi sekiranya dibangunkan menerusi keseluruhan rantaian nilai.

“Dalam konteks REE misalnya, kita tidak seharusnya melihatnya hanya daripada sudut pengekstrakan sumber. Jika terdapat potensi, kita perlu melihat keseluruhan rantaian nilai daripada pemprosesan, industri hiliran, teknologi, penyelidikan dan pembangunan sehingga kepada penghasilan produk bernilai lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, SG4 juga perlu menarik pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi serta mengembangkan pelbagai sumber pertumbuhan supaya tidak terlalu bergantung kepada satu sektor sahaja.

Menurutnya, sasaran KDNK RM723.75 bilion perlu disokong pencapaian yang boleh dinilai dari semasa ke semasa, termasuk pelaburan yang benar-benar direalisasikan, pelaksanaan projek, peningkatan produktiviti dan penciptaan pekerjaan berkualiti.

“Bukti yang paling meyakinkan akhirnya ialah pelaksanaan. Pelaburan yang diumumkan perlu diterjemahkan kepada pelaburan yang benar-benar direalisasikan, projek yang dirancang perlu bergerak kepada pelaksanaan, dan pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti serta penciptaan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan SG4 bukan sekadar bergantung kepada pencapaian angka KDNK, tetapi turut perlu diukur melalui perkembangan perusahaan tempatan, peningkatan taraf hidup rakyat serta pemeliharaan alam sekitar dan identiti masyarakat setempat.

“Yang penting ialah keyakinan tersebut perlu disokong dengan pelaksanaan, pencapaian dan penilaian yang berterusan,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here