PDRM rujuk AGC berhubung kedudukan Shuhaily di AKPS

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merujuk status penjawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan berhubung tindakan lanjut terhadapnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu perlu diteliti kerana pelantikan Mohd Shuhaily bagi tempoh dua tahun di AKPS dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun. Ia (status Shuhaily) macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Sekiranya berlaku apa-apa perkara yang melibatkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti bergantung kepada nasihat AGC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC) di Shah Alam hari ini, lapor Buletin TV3.

Mohd Shuhaily sebelum ini berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Sepang berkaitan dakwaan mencederakan dua anggota polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan memohon untuk dibicarakan.

Kes berkenaan kini melalui proses perundangan, manakala PDRM mendapatkan nasihat AGC bagi menentukan tindakan sewajarnya berhubung status penugasan beliau di AKPS.

Dalam pada itu, menurut Mohd Khalid, sebarang cadangan penamatan kontrak Mohd Shuhaily juga perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum tindakan susulan diambil PDRM.

“Apa pun, (ia) perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya.

“Selepas itu baru pihak PDRM akan bertanggungjawab kerana Datuk Seri Shuhaily adalah seorang pegawai polis yang dipinjamkan (kepada) AKPS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada PDRM berhubung perkara berkenaan.

“Beri PDRM uruskan dahulu,” katanya ringkas.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here