KERJASAMA antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukan satu perjanjian yang mengikat kedua-dua gabungan itu untuk terus bersama selama-lamanya.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama berkenaan dibuat atas keperluan membolehkan sebuah kerajaan dibentuk selepas PRU-15 dan bukannya satu komitmen kekal antara BN dan PH.
Menurut beliau, keadaan politik ketika itu memerlukan kedua-dua gabungan mencapai persetujuan demi memastikan kestabilan negara.
“Itu bukan satu tandatangan kontrak sampai mati. Ia hanya satu tandatangan, bersetuju untuk mewujudkan kerajaan di peringkat Pusat yang sepatutnya tidak mengikat.
“Kita sepatutnya sedia maklum, keadaan memaksa kita untuk bersama dan kita bersetuju bersama menyelamatkan negara supaya mempunyai kerajaan (selepas PRU-15),” katanya, lapor BH.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesejahteraan Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Sirusa di Port Dickson hari ini.
Mohamed Khaled mengulas dakwaan BN tidak mengenang budi kerana tidak bekerjasama dengan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, walaupun kedua-dua gabungan itu kini bersama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, apabila tiba masanya, BN akan menyerahkan keputusan kepada rakyat untuk menentukan gabungan atau parti yang diberi mandat mentadbir.
“Sebab itu, pelbagai parti menawarkan diri untuk balik kepada rakyat dan biarlah rakyat membuat keputusan,” katanya.






