JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti dalang di sebalik penemuan tiga kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang disyaki palsu, termasuk kemungkinan ia dibekalkan oleh sindiket.
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, kes itu merupakan yang pertama membabitkan penemuan kad UNHCR disyaki palsu yang dikesan pihaknya di negeri ini pada tahun ini.
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber kad berkenaan serta sama ada ia dihasilkan atau diedarkan oleh sindiket tertentu.
“Tiga lelaki Rohingya itu adalah antara 20 warga asing yang ditahan dalam Op Mega, operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Kota Bharu pada Jumaat lalu.
“Daripada jumlah itu, hanya 10 individu direman bagi membantu siasatan. Sebaik siasatan selesai, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut termasuk keputusan sama ada mereka akan didakwa atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program berkaitan operasi penguatkuasaan di Kota Bharu, hari ini, lapor Buletin TV3.
Garry berkata, kad UNHCR yang disyaki palsu itu dirampas daripada tiga lelaki Rohingya terbabit selepas pemeriksaan mendapati terdapat percanggahan antara maklumat yang tertera pada kad dengan ciri fizikal pemegangnya.
Katanya, operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
Dalam operasi berkenaan, seramai 362 warga asing dari Myanmar, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Thailand telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 20 lelaki warga asing berusia antara 30 hingga 60 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.






