Tarik balik tuduhan, mohon maaf pada Sanusi – Pemuda Pas desak Dr Sathia

DEWAN Pemuda Pas Pusat mendesak Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan untuk menarik balik dakwaan yang mengaitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan kenyataan berbaur perkauman dan memohon maaf secara terbuka.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tuduhan kononnya Muhammad Sanusi pernah menyebut frasa ‘Cina balik China, India balik India’ adalah dakwaan yang berat, menghasut dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau menegaskan, Muhammad Sanusi tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa Sathia ketika berucap dalam ceramah di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Tuduhan tersebut amat berat, bersifat menghasut dan cukup berbahaya. Ia bukan sekadar serangan politik biasa, tetapi memberikan gambaran palsu bahawa seorang pemimpin Melayu Islam yang sedang mentadbir sebuah kerajaan negeri mahu menghalau rakyat Malaysia berdasarkan kaum.

“Hakikatnya, ucapan Muhammad Sanusi dalam ceramah di Jempol adalah berbeza daripada apa yang didakwa. Beliau tidak pernah menyebut dan mengarahkan masyarakat Cina ‘balik ke China’ dan masyarakat India ‘balik ke India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Besar Kedah sebelum ini dalam satu ceramah didakwa telah mengeluarkan satu ucapan yang mencetuskan kontroversi menyebut ‘Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand’.

Afnan Hamimi mendakwa, penambahan perkataan ‘balik’ telah mengubah keseluruhan maksud ucapan asal dan berpotensi membangkitkan kemarahan, ketakutan serta ketegangan antara kaum.

Beliau memberitahu, tindakan memutarbelitkan kenyataan sedemikian boleh mengelirukan rakyat dan mencetuskan permusuhan antara masyarakat berbilang kaum.

Tambahnya, Pemuda Pas akan membuat laporan polis berhubung penyebaran dakwaan berkenaan supaya pihak berkuasa menyiasat sama ada wujud unsur hasutan, penyebaran maklumat palsu atau perbuatan yang boleh mencetuskan kebencian antara kaum.

“Sekiranya dakwaan palsu itu turut dimasukkan dalam mana-mana laporan polis, perkara tersebut juga wajar disiasat sebagai kemungkinan pemberian maklumat palsu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi mendesak Sathia menarik balik tuduhan berkenaan dan memohon maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi serta rakyat Malaysia yang didakwa telah dikelirukan.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri Kedah atau Muhammad Sanusi mempertimbangkan tindakan saman sivil terhadap pihak yang didakwa menyebarkan kenyataan berkenaan.

Menurutnya, Pemuda Pas akan terus memantau mana-mana pemimpin PKR dan DAP yang cuba menggunakan sentimen perkauman untuk mencetuskan kebencian serta merosakkan keharmonian negara.

“Berbeza politik bukan lesen untuk memfitnah. Jangan bakar sentimen perkauman demi kepentingan politik,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img