SEORANG lelaki cedera selepas kereta jenis Honda Civic dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh tiang lampu isyarat di Jalan Persiaran Perpaduan berhampiran Restoran Pasembur Hussin, USJ 9, Subang Jaya, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun itu sedang bergerak dari arah Jalan Persiaran Perpaduan sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Akibatnya, kenderaan terbabit terbabas ke bahu kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang lampu isyarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kaki, tangan dan rusuk.
Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya berhubung kejadian itu.
Menurut Wan Azlan, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan berkenaan supaya menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Subang Jaya, Sarjan Mohd. Faiz Akmal Hashim di talian 017-888 6792 bagi membantu siasatan.






