Sanusi cabar Anthony Loke bertanding di DUN Jeneri

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke dicabar untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri pada pilihan raya akan datang jika benar mahu membuktikan kekuatan sokongan parti itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas tidak pernah gentar untuk berdepan mana-mana parti, sebaliknya pembahagian kerusi yang diamalkan parti itu dibuat berdasarkan realiti demografi dan pola sokongan pengundi di sesuatu kawasan.

“Kalau macam tu, suruh DAP mai bertanding di kawasan Melayu. Beritahu Anthony Loke, pilihan raya akan datang mai bertanding di Jeneri. Kita tengok langit tinggi atau rendah.

“Kalau saya suruh Anthony Loke, Tony Pua atau Hannah Yeoh bertanding di Jeneri, mahukah? Ini semua realiti politik, bukan soal berani atau tidak,” katanya menjawab dakwaan kononnya Pas takut untuk berdepan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menteri Besar Kedah itu ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kedah di Alor Setar hari ini.

Anthony sebelum ini mendakwa Pas gentar untuk bersemuka dengan DAP pada PRN Johor, sebaliknya memilih bergantung kepada ‘proksi’, Barisan Nasional (BN).

Anthony turut mendakwa tindakan Pas tidak meletakkan calon di kawasan yang ditandingi DAP adalah sebahagian daripada strategi menyatukan undi kepada calon BN, khususnya daripada MCA, selain menyifatkan Pas tidak berprinsip kerana menyeru penyokongnya menyokong BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, realiti demografi dan pola sokongan pengundi di sesuatu kawasan telah lama menjadi amalan dalam landskap politik negara apabila setiap parti memilih untuk bertanding di kawasan yang mempunyai asas sokongan masing-masing.

“Kalau kawasan majoriti Cina, kenapa Pas nak tanding di situ?. Kita tahu siapa penyokong kita dan siapa yang tidak menyokong kita. Itu realiti politik.

“Orang Pas tahu siapa pengundi dia, orang DAP pun tahu siapa undi dia. Itu realiti yang sudah lama berlaku dalam politik negara,” ujarnya.

Katanya, pembahagian kerusi pilihan raya di Malaysia lazimnya mengambil kira komposisi kaum dan sejarah politik setempat, sekali gus menjadi asas kepada strategi semua parti yang bertanding.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img