FORMULA 1 bakal kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada Grand Prix Bahrain.
Perkara itu diumumkan menerusi akaun Instagram rasmi Formula 1 yang memaklumkan penganjuran perlumbaan itu masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian muktamad.
Menurut F1, perlumbaan berkenaan akan dikenali secara rasmi sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia dan dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober.
SIC sebelum ini menjadi gelanggang Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu dikeluarkan daripada kalendar Formula 1 berikutan peningkatan kos penganjuran dan bayaran lesen.
Spekulasi mengenai kemungkinan Malaysia kembali tersenarai dalam kalendar Formula 1 timbul selepas konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Iran menyebabkan Grand Prix Bahrain serta Grand Prix Arab Saudi ditangguhkan.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan penghargaan kepada Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk menganjurkan Grand Prix Bahrain.
Beliau berkata, Malaysia bersedia mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi serta layanan mesra yang menjadi identiti negara kepada pasukan dan peminat Formula 1 dari seluruh dunia yang akan hadir ke Sepang.
“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia. Ia mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain, di samping mengesahkan kesiapsiagaan dan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.
“Malaysia bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa), semua pasukan serta peminat dari seluruh dunia ke Sepang,” katanya.






