MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskanm pengiktirafan terhadap Tanah Melayu sebagai tanah air sejarah orang Melayu tidak bermaksud rakyat bukan Melayu tidak mempunyai hak terhadap Malaysia.
Sehubungan itu Sanusi menafikan kenyataan beliau bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu bertujuan mempersoalkan kewarganegaraan atau hak rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India.
Beliau berkata, ucapannya di Jempol pada 23 Julai lalu merujuk kepada hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu, selain kebimbangannya terhadap kedudukan politik dan ekonomi masyarakat berkenaan.
Katanya, rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India yang menjadi warganegara mempunyai hak perlembagaan, kesetiaan serta rasa kepunyaan terhadap negara ini.
“Malaysia ialah tanah air mereka sebagai warganegara,” katanya dalam kenyataan.
Sanusi turut menafikan ucapannya sebagai seruan supaya masyarakat Cina atau India meninggalkan negara ini.
Katanya, dalam bahagian lain ceramah berkenaan, beliau turut menyatakan orang Melayu boleh hidup secara aman dan harmoni bersama masyarakat berbilang kaum.
“Saya menyebut peniaga Cina boleh membuka kedai dan berniaga dalam kampung Melayu tanpa diganggu, sambil menegaskan: ‘Kita tak kacau orang’”.
“Oleh itu, ucapan saya perlu dibaca sebagai kebimbangan mengenai kedudukan politik dan ekonomi Melayu, bukan seruan rakyat Malaysia berketurunan Cina atau India meninggalkan negara ini,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas.
Sanusi menjelaskan, beliau menghubungkan identiti sejarah Tanah Melayu dengan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu serta keperluan masyarakat Melayu mengambil berat terhadap perkembangan politik semasa.
Beliau berkata, ungkapan Tanah Melayu satu-satunya tanah air orang Melayu bukan gagasan baharu atau doktrin perkauman yang diciptanya.
Sebaliknya, Sanusi memetik ucapan tiga tokoh British yang direkodkan dalam Hansard Parlimen United Kingdom pada 1946, 1949 dan 1957 bagi menyokong hujahnya.
Antaranya Oliver Stanley yang menyifatkan Tanah Melayu sebagai ‘tanah air tradisional orang Melayu’, Lord Killearn yang merujuknya sebagai ‘tanah orang Melayu’, dan Lord Ogmore yang berkata Tanah Melayu ialah ‘satu-satunya tanah air orang Melayu’.
Sanusi berkata, ketiga-tiga tokoh itu turut mengambil kira kedudukan masyarakat bukan Melayu serta keperluan semua kaum bekerjasama menjayakan negara dan Perlembagaan.
Katanya, Stanley menolak kemungkinan masyarakat Cina dan India yang menetap secara tetap terus dianggap sebagai pelawat tanpa kewarganegaraan.
Killearn pula mengingatkan kepentingan kaum lain perlu dipertimbangkan, manakala Ogmore menyeru semua kaum memberikan kerjasama dalam menjayakan Perlembagaan.
Sanusi berkata, pandangan itu menunjukkan dua perkara boleh diakui secara serentak, iaitu hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu serta hak rakyat bukan Melayu sebagai warganegara.
“Ucapan saya tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu isu seolah-olah ia suatu seruan untuk menghalau, menolak atau menafikan kewarganegaraan rakyat Malaysia bukan Melayu.
“Tafsiran sedemikian melangkaui kata-kata yang diucapkan dan mengabaikan konteks keseluruhan ucapan saya,” katanya.






