KERAJAAN sedang mempertimbang jualan ‘Tiket MADANI’ bagi perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air 2026 di Sepang pada Oktober ini, iaitu jualan tiket pada harga lebih berpatutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedar harga tiket bagi acara sukan antarabangsa berprestij itu mahal, sedangkan ramai rakyat tempatan berminat menontonnya.
“Ramai sudah membeli tiket… (ada yang kata) tiket mahallah tapi nak buat macam mana, (acara) antarabangsa.
“Nak suruh orang datang, orang tanya saya “PM, ada tak Tiket MADANI? Kami kena beli tiket, yang paling murah RM200. Bagilah tiket MADANI.
“Insya-Allah… tapi jangan (minta tempat) duduk depan sangat. Nak bayar Tiket MADANI, jangan duduk depan sangatlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan di Lukut, Port Dickson hari ini, lapor BH.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Malaysia sah menjadi tuan rumah bagi perlumbaan F1 GP Bahrain Gulf Air 2026 di Sepang pada Oktober ini.
GP Bahrain sepatutnya berlangsung April lalu, namun ditangguhkan pada Mac bersama GP Arab Saudi susulan perang di Iran.
Bahrain berharap dapat menjadualkan semula perlumbaan itu pada 4 Oktober, namun peningkatan konflik bulan ini menyebabkan rancangan itu tidak dapat diteruskan.
Sementara itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan, sebanyak 90 peratus daripada 394 JPPK di Negeri Sembilan menerima manfaat daripada Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), dengan peruntukan sebanyak RM34.12 juta.
Justeru beliau meminta supaya PH terus diberi mandat untuk mentadbir negeri itu bagi membolehkan kerajaan yang diterajui Aminuddin sebelum ini meneruskan kerja untuk membantu rakyat, termasuk melalui peranan yang dimainkan JPKK.
“Sebab itu, saya kata kebijaksanaan pemimpin terdahulu pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak (Hussein), bila tekankan peranan JPKK pada masa itu kerana beliau tahu, bagaimana pun keputusan negara atau Perdana Menteri, di bawah itu didapati daripada JPKK.
“Jika ketua kampung tahu, cara kita tumpu (isu rakyat) sekarang jauh lebih serius dan bersungguh daripada dulu. Jadi, saya minta bagi amanah kepada pengerusi jawatankuasa semua untuk kerja bagi kemenangan yang baik,” katanya.






