JKDM Melaka bongkar taktik ikrar sirip yu RM8.36 juta sebagai kulit ikan

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya membongkar taktik sebuah syarikat pengimport yang menyeludup sejumlah 5,069 kilogram (kg) sirip ikan yu bernilai RM8.36 juta yang diikrarkan sebagai kulit ikan bagi mengaburi pemeriksaan pihak berkuasa.

Pengarah JKDM Melaka, Roslan Yusoff berkata, rampasan pada 2 Julai lalu itu membabitkan sirip ikan yu dipercayai dibawa masuk dari Guyana, Amerika Selatan untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, kegiatan berkenaan dipercayai didalangi sebuah syarikat tempatan yang beralamat di Selangor manakala pengarah syarikat itu kini sedang dikesan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka bersama Cawangan Narkotik Ibu Pejabat memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Semakan mendapati dagangan dalam kontena itu diikrarkan sebagai fish skin (kulit ikan) di bawah kod tarif yang dikenakan cukai lima peratus.

“Namun pemeriksaan fizikal menemukan 180 guni berisi 5,069 kg sirip ikan yu yang sepatutnya diikrarkan di bawah kod tarif berbeza dengan kadar cukai 10 peratus serta tertakluk kepada pemeriksaan dan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Perikanan Malaysia mengikut peruntukan CITES,” katanya.

Roslan berkata demikian dalam sidang media di Bangunan JKDM Melaka di Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata, nilai sirip ikan yu yang dirampas dianggarkan RM7.6 juta, manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai adalah RM8.36 juta.

Tambahnya, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran dan menguruskan dokumen pengikraran dagangan turut ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Menurutnya, syarikat pengimport terbabit dipercayai telah beroperasi kira-kira lima tahun dengan menjalankan aktiviti import pelbagai barangan termasuk makanan laut.

“Kita mendapati modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran palsu dengan mengisytiharkan muatan bagi mengelak pemeriksaan MAQIS selain mengurangkan bayaran cukai.

“Siasatan turut dijalankan terhadap pembekal dari Guyana serta pihak yang membuat tempahan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian kegiatan ini,” katanya.

Kes ini kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang tidak berkastam atau barang larangan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 mengikut mana lebih tinggi dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img