Bapa ditahan bantu siasatan kes bunuh anak lelaki 18 bulan pada 2023

KES kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan hampir tiga tahun lalu di Johor Bahru yang sebelum ini disiasat sebagai kes pengabaian, kini diklasifikasi sebagai kes bunuh apabila bapa kandung mangsa ditahan bagi membantu siasatan.

Perkembangan terbaharu itu menyusul hasil siasatan polis selepas memanggil 13 individu termasuk ahli keluarga terdekat dan keluarga pengasuh mangsa selain mengambil sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan awal kes itu diterima daripada seorang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 13 September 2023 selepas mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur.

Menurutnya, penemuan terbaharu kes itu tidak menolak kemungkinan mangsa diliwat oleh suspek namun perkara itu masih dalam siasatan kerana kesan cecair dipercayai air mani yang ditemukan pada bahagian dubur mangsa tidak dapat dianalisa.

“Pada peringkat awal, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku pengabaian sehingga menyebabkan kematian.

“Susulan perkembangan terbaharu itu, kes ini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, lapor Sinar Harian.

Ab Rahaman berkata, polis menahan bapa mangsa yang berusia 40 tahun pada 18 Julai lalu dan seorang lagi lelaki yang juga bapa saudara mangsa pada 22 Julai.

Menurutnya, semakan mendapati bapa mangsa yang bekerja sebagai buruh di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala bapa saudara memiliki 13 rekod jenayah dan dadah serta positif ganja.

Tambahnya, hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik bapa mangsa turut menemukan gambar dan video lucah.

“Sehubungan itu, bapa mangsa akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

“Bapa saudara mangsa pula akan dibebaskan serta dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.

Katanya, bapa mangsa akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi berdepan pertuduhan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img