Ketua Pemuda Amanah Bachok mengaku tak bersalah buat hantaran palsu harga petrol

KETUA Pemuda Amanah Bachok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berkaitan harga petrol dan diesel menerusi aplikasi Threads, pada Mac lepas.

Abdullah Aqili Romeli, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi menerusi akaun Threads “@qileybrembo” dengan memuat naik poster mengandungi maklumat tidak sahih.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 31 Mac lepas kira-kira 12 tengah hari dan hantaran berkenaan dilihat kira-kira 3 petang pada hari sama di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Abdullah Aqili boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun, Abdullah Aqili yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia bekerja sendiri sebagai mekanik kereta dan berpendapatan kira-kira RM1,500 sebulan bergantung kepada jumlah pelanggan.

Lelaki itu turut memberitahu mahkamah bahawa dia datang dari Kelantan untuk menghadiri prosiding hari ini dengan hanya membawa RM300, selain mempunyai seorang anak angkat.

Hakim Ahmad Fuad Othman kemudian membenarkan Abdullah Aqili diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

Pada April lepas, Abdullah Aqili menyatakan rasa kesal selepas dikompaun RM25,000 oleh MCMC atas dakwaan penyebaran berita palsu. Beliau kemudian mengemukakan rayuan terhadap kompaun itu kepada MCMC, namun rayuan berkenaan ditolak.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img