Ketua Polis Perlis dahului pertukaran jawatan dalam PDRM, 25 pegawai kanan bertukar

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran membabitkan 25 pegawai kanan termasuk Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Muhammad Abdul Halim yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan/Operasi), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), dengan kenaikan pangkat Komisioner Polis (CP).

Muhammad dijadual memulakan tugas baharunya pada 3 Ogos ini.

Turut dinaikkan pangkat ke jawatan CP ialah Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Datuk Mohd Taufik Toh Abdullah yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, Bukit Aman.

Dalam masa sama, Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Mohamad Farouk Eshak dilantik sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Dua lagi pegawai kanan berpangkat SAC yang dinaikkan ke pangkat DCP ialah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah serta Penolong Pengarah E4A, Cawangan Khas Bukit Aman, Roslan Alias yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E6, Cawangan Khas Bukit Aman.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Lim San Aik dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah dengan mengekalkan pangkat sama.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali berkata, seramai 13 pegawai kanan berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) turut dinaikkan pangkat ke SAC dan bertukar jawatan.

Beliau berkata, pertukaran itu membabitkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur yang baharu; Ketua Polis Daerah Sentul, Basri Sagoni sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan/Tahanan/Pengawasan JSJ Bukit Aman; serta Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Zulkarnain Samsudin sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

“Turut dinaikkan pangkat ke SAC ialah Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi Kuala Lumpur, Kamaruzaman Md Alib yang dilantik sebagai Penolong Pengarah E1A, Cawangan Khas Bukit Aman; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Haslah Bachok sebagai Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Operasi) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman; serta Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Kumarasan Muniandy sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tujuh lagi pegawai kanan berpangkat Superintendan turut diumumkan bertukar jawatan dan dinaikkan pangkat ke Asisten Komisioner Polis (ACP).

Katanya, semua arahan pertukaran dan kenaikan pangkat itu berkuat kuasa mulai 1 September depan, kecuali pelantikan Muhammad yang akan bermula pada 3 Ogos ini.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img