‘’KALAU nak siasat balik, silakan. Saya orang pertama akan bagi kerjasama yang padu dan jitu, kalau saya curi, saya tanggung. Tapi jangan ulang ayat sakau demi kepentingan politik.’’
Demikian ditegaskan oleh bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyatakan kesediaaan untuk disiasat semula jika diperlukan susulan wujud dakwaan salah laku dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Tabung Haji yang didedahkan semalam.
Bercakap kepada wartawan di Pertang, Jelebu, beliau berkata, pada tahun 2021, Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) ketika itu Tan Sri Azam Baki telah mengeluarkan surat rasmi bahawa tidak ada salah guna kuasa atau penyelewengan yang berlaku.
Selain itu katanya, beliau telah dipanggil pihak polis sebanyak 11 kali bagi membantu siasatan forensik sebelum ini.
“Dua minggu lepas saya tanya pihak polis, mereka kata fail ini sudah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan No Further Action (NFA),’’ katanya.
Sehubungan itu Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling berkata, laporan RCI setebal 204 muka surat itu sebenarnya telah disiapkan sejak penghujung tahun 2022 dan telah dibentangkan dalam beberapa siri mesyuarat Kabinet.
“Saya tidak tahu kenapa tiga tahun lapan bulan ia tidak dikeluarkan…yang tahu hanya Perdana Menteri. Dalam RCI itu jelas dinyatakan boleh diterbitkan kepada umum.
“Kalau betul saya sakau, tahun 2018 lagi Tun Dr Mahathir MohamAd dah penjarakan saya…saya ditahan 14 malam di lokap, disiasat habis-habisan termasuk audit forensik,” katanya.
Abdul Azeez menjelaskan ketika itu beliau telah merayu kepada Dr Mahathir, Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Rawa untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan tersebut.
Katanya, beliau sekali lagi merayu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri untuk melakukan perkara sama, tetapi tidak diberikan perhatian.
“Saya nak benda ini dirungkaikan, tapi tak buat. Tapi Alhamdulillah ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri, beliau bersetuju buat. Kalau UMNO sakau, menteri saya curi, saya curi selaku pengerusi TH ketika itu, tidak akan saya nak suruh buat RCI. Rakyat boleh menilai,”katanya.
Abdul Azee seterusnya menegaskan, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif ketika itu, beliau tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan sebarang transaksi atau pelaburan secara bersendirian.
Katanya, setiap kertas kerja perlu melalui panel pelaburan (investment panel) dan bahagian pengurusan risiko terlebih dahulu sebelum dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.
“Saya bukan Pengerusi Eksekutif, saya hanya hanya pengerusi biasa. Pengurusan tertinggi yang bertanggungjawab memberi segala keterangan, laporan terperinci setelah melihat pengurusan risiko terlebih dahulu dan panel pelaburan. Rakyat kena tahu proses itu,”katanya.
Dalam pada itu, Abdul Azeez meminta pihak pentadbiran sedia ada untuk tidak menafikan merit dan rekod pencapaian UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah menguruskan Tabung Haji sejak tahun 1963.
“Janganlah menteri sekarang nak membodek bos mendakwa zaman mereka yang paling hebat. Sepanjang 15 tahun berturut-turut, termasuk 7 tahun sewaktu saya di sana, Tabung Haji diiktiraf sebagai pengurusan haji terbaik di dunia.
“Kita berjaya hantar lebih 1.4 juta rakyat Malaysia menunaikan haji dengan sistem kebajikan dan kesihatan yang tiada tandingan. Mereka sekarang hanya memperkasakan dan menahan tiang yang sedia ada, jangan pula menidakkan sumbangan kami sebelum ini,” katanya.
Beliau turut merayu kepada seluruh rakyat dan pendeposit agar meneliti sendiri laporan RCI tersebut tanpa dipengaruhi sesiapa.






