POLIS, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menyiasat kemungkinan berlaku kesalahan jenayah daripada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Tabung Haji (TH).
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata, kesalahan itu mungkin termasuk penipuan kewangan, pemalsuan rekod perakaunan, penipuan, pengagihan hibah tidak sah dan pecah amanah.
Katanya, sebarang bukti salah laku perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk diputuskan sama ada pihak bertanggungjawab patut didakwa.
“Tiada gunanya menerbitkan laporan RCI jika dibiarkan begitu saja tanpa sebarang tindakan undang-undang,” katanya kenyataan melalui klip vide.
Hassan turut menekankan kedudukan kewangan TH pada 2017 yang melaporkan keuntungan RM3.4 bilion sedangkan ia sepatutnya mencatatkan kerugian bersih RM1.4 bilion.
Tegasnya, keadaan ini bersamaan percanggahan RM4.8 bilion, dan mendakwa bahawa kedudukan kewangan sebenar TH telah disembunyikan.
Hassan turut mempersoalkan pengagihan hibah bagi tahun itu, dengan memetik Seksyen 22(3) Akta Tabung Haji 1995 yang melarang dana itu mengisytihar atau membayar dividen atau pengagihan keuntungan jika asetnya lebih rendah daripada liabiliti
Tanpa menyebut nama, beliau berkata, penyiasat boleh meneliti peranan Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengarah Urusan, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai kanan ketika itu.
Bagaimanapun Hassan menegaskan, beliau tidak menuduh mana-mana individu melakukan kesalahan secara khusus.
“Sesiapa yang mungkin dituduh nanti, belum tentu bersalah dan mereka ada hak untuk membela diri,’’ katanya.
Beliau berkata, perkara itu mempunyai kepentingan awam besar kerana membabitkan simpanan umat Islam yang mendepositkan wang dengan Tabung Haji untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.
Hassan mengalu-alukan keputusan kerajaan mendedahkan laporan RCI itu dan membentangkannya di Parlimen untuk dibahaskan.
RCI itu ditubuhkan pada 2021 untuk menyiasat aspek pengurusan, operasi dan isu berkaitan aset TH antara 2014 hingga 2020 susulan kebimbangan terhadap tadbir urus dan kedudukan kewangan dana berkenaan. RCI itu menyiapkan laporannya pada Julai 2022.






