DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu juga membuktikan anak muda negara memiliki keupayaan, disiplin dan semangat juang untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan perkara itu ketika menerima kunjungan Aliff Rakib di pejabatnya hari ini.
Pada pertemuan itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Aliff Rakib atas kejayaan bersejarah muncul sebagai rakyat Malaysia pertama merangkul Kejuaraan Dunia itu.
“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mengejar impian dengan tekad, iltizam dan usaha yang tidak pernah mengenal putus asa. Syabas Aliff Rakib, Malaysia berbangga dengan kejayaan ini,” kata Anwar dalam hantaran itu.
Aliff Rakib mencipta sejarah terbesar dalam karier profesionalnya apabila menumbangkan legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao dalam pertarungan utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand minggu lalu.
Beliau memastikan kemenangan penuh bergaya selepas menewaskan Sam-A menerusi knockout (KO) pada pusingan kelima sekali gus dinobatkan sebagai Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai.






