MCMC teliti teknologi Starlink perluas capaian internet tanpa menara

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan perbincangan bersama syarikat telekomunikasi tempatan bagi meneliti potensi pelaksanaan teknologi direct-to-device dan direct-to-cell yang dicadangkan penyedia internet satelit, Starlink, sebagai alternatif memperluaskan capaian internet di kawasan tanpa liputan menara telekomunikasi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, teknologi berasaskan satelit itu mampu menjadi penyelesaian lebih pantas dan kos efektif khususnya di kawasan yang tidak ekonomik untuk pembinaan menara telekomunikasi.

Menurutnya, wakil Starlink telah mengadakan pertemuan dengannya beberapa hari lalu bagi memaklumkan hasrat syarikat itu untuk melaksanakan percubaan teknologi berkenaan di Malaysia.

“Beberapa hari lalu wakil daripada syarikat Starlink telah bertemu dengan saya untuk memaklumkan hasrat mereka melaksanakan perkhidmatan direct-to-device atau direct-to-cell secara percubaan di Malaysia.

“Ini merupakan satu anjakan yang agak signifikan kerana ia membolehkan capaian internet disediakan melalui satelit bagi kawasan tertentu yang tidak mempunyai menara telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Auditorium MCMC, Cyberjaya, hari ini.

Fahmi berkata, susulan cadangan itu beliau telah mengarahkan MCMC menjemput semua syarikat telekomunikasi tempatan bagi mengadakan perbincangan bersama Starlink untuk menilai potensi penggunaan teknologi tersebut di negara ini.

Katanya, langkah itu penting bagi melihat masa depan rangkaian komunikasi negara yang tidak hanya bergantung kepada pembinaan infrastruktur menara telekomunikasi.

“Untuk membina sebuah menara baharu, prosesnya boleh mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan sekiranya semua urusan berkaitan tanah berjalan lancar.

“Sebab itu kita perlu melihat kepada penyelesaian yang lebih pantas dan lebih kos efektif,” katanya.

Menurut beliau, jika percubaan itu berjaya, teknologi berasaskan satelit berkenaan mampu melengkapkan usaha kerajaan memperluaskan liputan internet termasuk di kawasan pedalaman dan sepanjang lebuh raya.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, kerjasama strategik antara MCMC dan LLM akan memperkukuh liputan komunikasi di lebuh raya, sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna, menyokong sektor logistik serta mempercepat pembangunan teknologi mobiliti pintar seperti sistem Multi-Lane Fast Flow (MLFF).

Beliau berkata, MCMC dan LLM juga akan menubuhkan Pasukan Petugas Bersama bagi menyelaras pelaksanaan projek, mengenal pasti lokasi keutamaan serta mempercepat penyelesaian isu teknikal dan akses tapak.

Katanya, MCMC telah memulakan langkah pelaksanaan menerusi pelawaan yang dikeluarkan pada 15 Mei lalu bagi menambah baik liputan internet di beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), West Coast Expressway (WCE) dan Lebuhraya Pan Borneo.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img