Papagomo diperintah bela diri atas tuduhan buat hantaran palsu

MAHKAMAH Sesyen Sepang hari ini memerintahkan penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo membela diri atas tuduhan menerbitkan hantaran palsu berkaitan 11 Ahli Parlimen PKR yang didakwa menarik sokongan terhadap presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri.

Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Wan Muhammad Azri pada akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah berpuas hati ketiga-tiga elemen pertuduhan berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan berdasarkan keterangan dan dokumen yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Ahmad Fuad turut menolak hujah pembelaan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes hanya kerana memanggil dua saksi, sebaliknya berpandangan bilangan saksi bukan faktor penentu sama ada sesuatu kes berjaya membuktikan prima facie.

Beliau berkata, hantaran palsu yang mendakwa 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Anwar bukan sahaja berpotensi mengganggu ketenteraman awam, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Bayangkan kesan kandungan ini, bukan sahaja menimbulkan kegusaran orang ramai malah dalam konteks ini, ia menjejaskan pelabur. Jadi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan ketiga-tiga elemen pertuduhan. Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 1, 2 dan 15 September depan untuk prosiding bela diri, manakala keputusan kes dijadualkan pada 22 Oktober.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin menegaskan, kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak bergantung kepada sama ada orang kena saman (OKS) ialah individu yang mula-mula mencipta kandungan tersebut.

“Tindakan OKS memuat naik kandungan palsu ke akaun Facebooknya sendiri, dengan niat yang dilarang undang-undang, sudah mencukupi untuk memenuhi elemen kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Peguam mewakili bekas Exco Pemuda UMNO, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam hujahannya berkata, tiada bukti kukuh anak guamnya ialah individu yang membuat dan memulakan komunikasi palsu seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Keterangan saksi sendiri menunjukkan mesej itu telah pun tular di WhatsApp, menyebabkan elemen utama pertuduhan tidak dibuktikan dan tertuduh sewajarnya dilepaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Wan Muhammad Azri, 42, membuat dan memulakan hantaran komunikasi palsu menggunakan akaun Facebook ‘Muhammad Azri’ pada 28 Mei 2025, yang mengandungi maklumat palsu berhubung dakwaan 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap Anwar, dengan niat menyakitkan hati dan mengganggu orang lain.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 serta boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img