PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut merafak sembah serta mendoakan agar Seri Paduka Baginda Sultan Pahang dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat serta hidayah Allah SWT, selain dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kedaulatan yang berpanjangan.
“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Memuliakan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan dan Raja Pemerintah bagi Negeri Pahang Darul Makmur serta jajahan takluknya.
“Patik mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Kebawah Duli Paduka Baginda dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
“Daulat Tuanku, Dirgahayu Tuanku,” katanya.






