USAHA mempertahankan kedaulatan negara bukan hanya menjadi tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh rakyat menerusi semangat patriotisme dan perpaduan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat tidak perlu mengangkat senjata untuk mempertahankan negara, sebaliknya boleh memainkan peranan dengan menyemai semangat cintakan tanah air, menyokong pasukan keselamatan serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kedaulatan negara.
Menurut beliau, semangat itu selaras dengan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) yang menekankan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam usaha mempertahankan negara.
“Inilah semangat Pertahanan Menyeluruh (HANRUH). Keberanian dan pengorbanan mereka menjadi asas kepada keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini.
“Bagi pihak kerajaan, Kementerian Pertahanan dan seluruh rakyat Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta para veteran atas khidmat dan pengorbanan mereka kepada negara,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi beliau sempena sambutan Hari Pahlawan 2026, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Hari Pahlawan yang disambut pada setiap 31 Julai merupakan simbol penghargaan kepada jasa dan pengorbanan para pahlawan serta perwira yang mempertahankan kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara.
Beliau berkata, keamanan yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil keberanian serta pengorbanan generasi terdahulu yang sanggup berkorban demi mempertahankan tanah air.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat keberanian, pengorbanan dan cintakan negara terus disemarakkan dalam jiwa setiap rakyat agar Malaysia kekal aman, berdaulat dan sejahtera.






