PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas lebih satu tan durian dipercayai diseludup dari Thailand dalam serbuan di berhampiran Pangkalan Haram Yasin, Kampung Lubok Gong, Kota Bharu, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun turut ditahan bersama sebuah van yang dipercayai digunakan untuk mengangkut buah berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan Batalion 7 PGA itu berjaya merampas 300 kilogram (kg) durian Musang King dan 750kg durian Monthong dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM26,250.
Beliau berkata, pasukan bertugas menahan sebuah van yang dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan menemukan bungkusan berisi durian terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 300kg durian Musang King dianggarkan bernilai RM7,500 dan 750kg durian Monthong bernilai RM18,750.
“Lelaki itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan durian yang dibawa. Hasil siasatan awal mendapati semua durian itu diperoleh dari Thailand dan dipercayai dibawa masuk melalui Pangkalan Haram Yasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semua durian berkenaan dipercayai mahu dihantar ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kota Bharu untuk dijual, manakala suspek dipercayai menerima upah RM100 bagi penghantaran tersebut.
Katanya, semua barang kes termasuk van yang dianggarkan bernilai RM20,000 dirampas sebelum dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang dan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Kelantan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).
Ahmad Radzi berkata, PGA akan terus mempergiat pemantauan dan pemeriksaan di kawasan tanggungjawab Rantau Panjang bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan merentasi sempadan.






