Malaysia Airlines beri kerjasama penuh kes juruterbang disyaki seludup dadah

MALAYSIA Airlines memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Indonesia susulan penahanan seorang juruterbang syarikat itu yang disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup dadah ke negara berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan berhubung kesalahan penyeludupan dadah yang membabitkan juruterbang berkenaan.

Menurut kenyataan itu, adalah tidak wajar untuk Malaysia Airlines mengulas lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia.

“Malaysia Airlines akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang berkaitan selaras dengan semua undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

“Malaysia Airlines ingin menegaskan bahawa syarikat tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.

“Pada masa sama, pihak kami sedang menjalankan semakan dalaman berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines berkata, aspek keselamatan, sekuriti dan integriti operasi syarikat kekal menjadi keutamaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah ke negara itu.

Suspek ditahan di pintu masuk Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada Selasa lalu selepas pemeriksaan Bahagian Kastam dan Cukai menemukan 15 paket besar mengandungi 70,114 pil ekstasi serta methamphetamine di dalam bagasinya.

Pengarah Pencegahan Jenayah Narkotik Polis Republik Indonesia (Polri), Brigadier Jeneral Eko Hadi Santoso dilaporkan berkata, suspek dipercayai menerima bayaran kira-kira RM50,000 bagi membawa bekalan dadah itu dari Kuala Lumpur ke Jakarta.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati dadah berkenaan dikirimkan oleh seorang individu di Malaysia sebelum diambil oleh seorang lagi individu di sebuah hotel penginapan suspek di Jakarta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img