Cubaan seludup dadah RM1.796 juta gagal, suspek campak bagasi ke laut

CUBAAN dua lelaki menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine bernilai lebih RM1.796 juta melalui laluan laut gagal apabila mereka bertindak mencampakkan dua bagasi dan sebuah beg galas ke laut sebelum melarikan diri ke perairan antarabangsa.

Pengarah Kastam Kedah, Wan Marini Wan Hamzah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam pada 14 Jun lalu ketika sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dari Cawangan Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai menjalankan rondaan di perairan Pulau Telur, Yan.

Beliau berkata, ketika rondaan dijalankan, pasukan mengesan sebuah bot nelayan tidak bernombor dalam keadaan mencurigakan berhampiran pulau berkenaan.

“Pasukan kemudian menghampiri bot itu dan mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, dua lelaki di atas bot terbabit bertindak mencampakkan dua bagasi dan sebuah beg galas ke laut sebelum memecut laju ke arah perairan antarabangsa sehingga gagal dikesan,” katanya.

Menurutnya, anggota penguat kuasa berjaya mendapatkan semula bagasi dan beg galas yang dicampakkan sebelum dibawa ke Pejabat Marin Tanjung Dawai untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan menemukan 35 bungkusan teh yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat keseluruhan 35.95 kilogram bernilai lebih RM1.796 juta,” katanya.

Wan Marini berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan bot serta individu yang terbabit, termasuk mengenal pasti kemungkinan wujud penglibatan sindiket jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan laluan laut dengan bot nelayan sebagai pengangkutan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img