Pelakon Indonesia positif dadah bertindak agresif di KLIA didenda RM500

PELAKON dan model Indonesia, Samudera Hurley Taylor didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Sepang hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghina terhadap petugas syarikat penerbangan serta ingkar arahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin lalu.

Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan denda itu terhadap Taylor, 24, dan memerintahkan dia dipenjara sebulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda.

Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu selepas Taylor mengesahkan dia memahami bahasa itu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didenda maksimum RM400 mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana ingkar arahan sah yang dikeluarkan anggota polis bantuan.

Taylor didakwa mengganggu ketenteraman awam dan operasi penerbangan apabila gagal mematuhi arahan supaya bertenang, tidak menimbulkan kekecohan dan terus menuju ke Pintu Pelepasan 4 untuk menaiki penerbangannya.

Dia didakwa terus bertindak agresif serta menggunakan kata-kata kesat dan berbaur provokasi terhadap petugas syarikat penerbangan dan anggota polis bantuan walaupun sudah diarahkan supaya berhenti.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400 atau penjara sehingga sebulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Taylor didenda RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menyebabkan gangguan awam dengan berkelakuan tidak senonoh.

Dia didakwa menjerit, mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur provokasi terhadap petugas Batik Air serta anggota polis bantuan sehingga mengganggu petugas di kaunter tiket.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 7.20 malam hingga 8.12 malam pada 27 Julai lalu di Pintu Pelepasan 4, bangunan terminal utama KLIA.

Peguam bela Shah Wira Abdul Halim memohon mahkamah mengenakan hukuman denda terhadap anak guamnya yang ketika itu dalam transit di KLIA dari Kemboja ke Jakarta, Indonesia.

Katanya, Taylor mengaku bersalah dan memohon maaf kepada mahkamah, polis serta petugas syarikat penerbangan atas tindakannya.

“Dia mengeluarkan kata-kata tidak wajar kerana berada dalam keadaan mabuk, gagal mengawal emosi dan dihalang daripada menaiki pesawat.

“Dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Malaysia. Dia bukan penjenayah tegar dan saya memohon hukuman berbentuk pemulihan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian pula memohon mahkamah mengambil kira kesan tindakan tertuduh yang mencetuskan kekecohan di lapangan terbang sehingga menjejaskan petugas syarikat penerbangan dan pelancong.

“Demi kepentingan awam, saya memohon hukuman setimpal sebagai peringatan kepada pelancong lain supaya menjaga adab ketika berada di Malaysia,” katanya.

Dalam prosiding berasingan, Taylor turut mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan sendiri dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid ke dalam badannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 5.40 petang, 28 Julai lalu di tandas Pusat Pengurusan Lapangan Terbang KLIA.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta pengawasan polis selama dua hingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Farah Nabihah tidak menawarkan jaminan sementara menunggu laporan patologi.

Bagaimanapun, Shah Wira memohon mahkamah menetapkan jaminan minimum sementara menunggu laporan itu.

“Laporan mungkin mengambil sedikit masa dan saya memohon proses itu dipercepatkan. Anak guam saya tidak berniat untuk terus berada di sini kerana mahu pulang ke negara asalnya.

“Jika jaminan dibenarkan, wakilnya akan menyediakan dua penjamin tempatan manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Taylor diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya dan melapor diri di balai polis berhampiran alamat penjamin sekali setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 September depan. Selesai prosiding, penjamin Taylor membayar wang jaminan dan denda tersebut.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img