POLIS menahan seorang wanita warga China bagi membantu siasatan kes pemerasan yang dilaporkan berlaku di Cheras, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8 Julai lalu kira-kira pukul 4.45 petang.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan seorang wanita warga China yang disyaki terbabit dalam kegiatan pemerasan tersebut.
“Suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula 23 Julai hingga 28 Julai lalu bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan bencana dengan tujuan melakukan pemerasan.
Katanya, polis turut menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan sekiranya menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah bagi membolehkan tindakan segera diambil.






