TIGA lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai menyamar sebagai anggota polis dan melakukan pemerasan terhadap seorang warga asing di Bukit Beruntung, Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, suspek berusia antara 42 hingga 59 tahun itu ditahan susulan laporan diterima daripada mangsa kira-kira jam 3.30 petang.
Menurutnya, pengadu yang bekerja sebagai pembantu kedai didatangi tiga lelaki yang mengaku sebagai anggota polis.
“Mereka meminta wang tunai sebanyak RM3,000 bagi mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor berjaya menahan kesemua suspek di lokasi kejadian.
“Hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau jenayah manakala dua lagi tiada rekod, dan ujian air kencing kesemua mereka didapati negatif dadah,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.


