BEKAS Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid meninggal dunia hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkongsi perkhabaran duka itu menerusi hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham Mohd Sukari amat dirasai dan meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga Kementerian Komunikasi khususnya Jabatan Penerangan Malaysia.
“Dengan penuh dukacita, saya menerima khabar pemergian mantan Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Mohd Sukari Ab Hamid.
“Sejak saya diberi amanah menerajui Kementerian Komunikasi, Allahyarham merupakan antara individu terawal yang saya temui. Beliau juga antara insan yang paling kerap bersama saya dalam melaksanakan tugas.
“Pemergian Allahyarham amat dirasai dan meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga Kementerian Komunikasi, khususnya Jabatan Penerangan Malaysia,” katanya dalam hantaran itu.
Fahmi mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.
“Takziah kepada ahli keluarga serta sahabat handai Allahyarham. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham Mohd Sukari mula berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan pada tahun 1987 dan pernah dilantik sebagai Pengarah Penerangan Negeri Kedah pada 2003.
Beliau kemudian menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Penerangan bermula 7 Disember 2020 sebelum bersara pada Mac 2024.






