PEMERIKSAAN keselamatan terhadap bagasi juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Indonesia pada 28 Julai lalu tidak mengesan sebarang objek mencurigakan sebelum dia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati bagasi juruterbang itu telah melalui proses saringan menggunakan mesin pengimbas berteknologi tinggi yang dilengkapi sistem kecerdasan buatan (AI) tanpa mengesan sebarang unsur mencurigakan.
Beliau berkata, juruterbang terbabit turut melepasi semua prosedur pemeriksaan keselamatan sebelum menaiki pesawat ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Indonesia.
“Dalam saringan yang dilakukan seperti biasa menggunakan mesin pengimbas, beg yang dibawa tidak menunjukkan sebarang imej mencurigakan.
“Justeru, bagasi itu melepasi saringan keselamatan yang dilaksanakan pihak keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA,” katanya pada sidang media di KLIA hari ini, lapor Berita Harian.
Mengulas mengenai rampasan dadah seberat 26 kilogram yang ditemukan Bahagian Cukai dan Kastam Indonesia, Mohd Shuhaily berkata, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada bekalan dadah itu berada dalam bagasi yang sama ketika melalui pemeriksaan di KLIA.
Menurut beliau, perkara itu kini berada di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
“Saya tidak dapat mengulas perkara ini. Maklumat lanjut akan diperoleh berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan oleh JSJN Bukit Aman,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia pada 28 Julai lalu selepas Bahagian Cukai dan Kastam negara itu menemui serta merampas 26 kilogram dadah daripada bagasinya.






