MAYAT seorang wanita warga Indonesia ditemukan terapung di Sungai Klang berhampiran sebuah kilang di USJ 1, Subang Jaya, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada jam 12.58 tengah hari.
Katanya, sepasukan polis bergegas ke lokasi sebelum menemui mayat wanita berkenaan dalam keadaan lengkap berpakaian.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa memakai jaket berwarna kuning dan seluar jeans cerah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati muka mangsa sudah hancur, manakala kulit pada bahagian tangan dan kaki telah menggelupas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, pemeriksaan ke atas sebuah beg silang yang ditemui bersama mangsa membawa kepada penemuan kad pengenalan elektronik Indonesia (e-KTP) berserta gambar pemiliknya.
“Dokumen berkenaan mengesahkan wanita itu adalah warga Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forubatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Balai Polis USJ 8 di talian 03-7862 7222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.





