SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri itu telah menganjurkan Forum Bicara Integriti dan Antirasuah (BIDARA) Siri 3/2026 bertemakan `Jom Pakat Tolak Rasuah’ di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Program melibatkan seramai 100 peserta terdiri daripada tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu itu diadakan pada 30 Julai lalu bertujuan memupuk budaya tolak rasuah serta memperkukuh usaha pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam.

Forum menampilkan Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid dan Penolong Pegawai Undang-undang Majlis Daerah Besut, Ahmad Burhan Sidqi A Rahman sebagai panelis manakala Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Terengganu, Suryani Ali selaku moderator.
Menurut SPRM Terengganu, perbincangan dalam forum itu memfokuskan kepada isu berkaitan rasuah, salah guna kuasa, konflik kepentingan serta pematuhan terhadap undang-undang dalam pelaksanaan fungsi penguatkuasaan PBT.
“Selain itu, forum turut mengupas cabaran semasa yang dihadapi oleh PBT termasuk peningkatan ekspektasi masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan, keperluan melaksanakan penguatkuasaan secara konsisten dan berhemah serta keupayaan mengekalkan integriti dalam mendepani pelbagai tekanan dan kepentingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, selaras dengan tuntutan masyarakat terhadap perkhidmatan awam yang lebih telus, cekap dan berakauntabiliti, warga PBT disaran untuk terus mengamalkan budaya kerja berintegriti, memastikan setiap tindakan mematuhi peraturan serta melaksanakan penguatkuasaan secara adil dan berlandaskan kepentingan awam bagi meningkatkan keyakinan masyarakat.
Penganjuran BIDARA Siri 3/2026 mencerminkan komitmen strategik SPRM Negeri Terengganu dan Pejabat SUK Negeri Terengganu dalam memperkukuh kerjasama antara agensi bagi memupuk budaya tolak rasuah, memperkasakan penguatkuasaan serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam yang telus, berintegriti dan bebas rasuah.






