MISTERI kehilangan sepasang suami isteri yang dilaporkan gagal dikesan sejak 20 Julai lalu akhirnya terungkai apabila kedua-duanya menyerah diri sebelum ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, pasangan masing-masing berusia 39 dan 36 tahun itu hadir menyerah diri kira-kira jam 1.50 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kehilangan pasangan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan masalah hutang membabitkan kegiatan kutu.
Pasangan itu kini ditahan dan dijangka akan dibawa ke Mahkamah Jitra pagi ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut, lapor Buletin TV3.
Semalam, media melaporkan tiga beranak dipercayai hilang selepas keluar dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam pada 20 Julai lalu dan gagal dihubungi ahli keluarga.
Kehilangan mereka mendorong bapa kepada wanita berusia 62 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam selepas usaha mengesan anak perempuan, menantu serta cucunya menemui jalan buntu.






