SEPASANG suami isteri yang sebelum ini ditahan kerana disyaki mendera anak saudara lelaki mereka di Machang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, kelmarin atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak itu, bulan lalu.
Tertuduh, Wan Saiful Azuan Wan Idris, 31, yang bekerja sebagai kelindan lori dan isterinya, Yujas Nor Aida Jasmin Mohd Yusoff, 29, seorang guru tadika, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Kedua-dua tertuduh yang sudah lima tahun berkahwin namun belum mempunyai cahaya mata mengangguk faham sebelum memohon untuk dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menganiaya anak saudara lelaki berusia 10 tahun satu bulan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10 malam pada 19 April lalu di sebuah rumah di Kampung Sungai Mas, Machang.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala pasangan itu diwakili peguam Mohd Taufikrullah Rusli dan Muhd Zulfaqar Saharrudin.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua bulan sekali pada setiap lima haribulan.
Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Difahamkan, mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sehingga Jun ini sebelum diserahkan kepada neneknya.
Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri itu direman tujuh hari selepas ditahan susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Bakar, Machang berhubung kecederaan dialami mangsa.


