PENUMPANG Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang terjejas susulan insiden sebuah lori terbabas di laluan Kulai-Kempas Baru, Johor akan dibawa menggunakan bas perantara ke Stesen Kulai sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bas perantara disediakan dari Stesen JB Sentral dan Stesen Kempas Baru ke Stesen Kulai bagi membantu kelancaran perjalanan penumpang.
Menurutnya, penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan susulan gangguan itu layak menerima pemulangan tambang penuh.
“Penumpang boleh mendapatkan bantuan lanjut daripada petugas KTMB di stesen,” menurut kenyataan itu.
KTMB berkata, tiga perkhidmatan ETS dari JB Sentral yang terjejas ialah ETS 9442 bagi laluan JB Sentral-Padang Besar, ETS 9524 (JB Sentral-KL Sentral) dan ETS 9326 (JB Sentral-Butterworth).
Katanya, bagi perkhidmatan Shuttle Selatan, laluan Pasir Gudang-JB Sentral-Pasir Gudang serta Kempas Baru-JB Sentral-Kempas Baru beroperasi seperti biasa, manakala laluan Kulai-Kempas Baru-Kulai masih digantung.
Menurut KTMB, kerja pemulihan masih dijalankan bagi mengalihkan struktur konkrit (parapet) yang jatuh dan menyentuh Alat Talian Atas (ATA) di kedua-dua landasan.
“Transmare-Chemie (M) Sdn. Bhd., syarikat lori yang terbabit memaklumkan pada jam 3 pagi tadi bahawa kren berkapasiti 120 tan yang diperlukan untuk mengalihkan struktur konkrit itu masih belum diperoleh.
“Sekiranya kren berkenaan tersedia, kerja mengangkat dan mengalihkan struktur konkrit dijangka bermula pada jam 10 pagi, namun waktu laluan dapat dibuka semula masih belum dapat ditentukan kerana bergantung kepada kemajuan kerja, pemeriksaan teknikal serta pengesahan keselamatan,” katanya.
KTMB berkata, pihaknya akan terus menyelaras kerja pemulihan bersama agensi berkaitan dan operasi tren hanya akan dibenarkan selepas laluan serta sistem ATA disahkan selamat untuk digunakan.
Semalam, perkhidmatan Shuttle Selatan dan ETS di laluan Kulai-Kempas Baru mengalami kelewatan selepas sebuah lori membawa cecair mudah terbakar terbabas berhampiran landasan sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik.






