KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun 30 peratus untuk pembelian tiket tren di bawah kendaliannya di semua sektor bermula esok hingga 20 April depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain perkhidmatan tren elektrik (ETS), diskaun tiket untuk perjalanan antara 15 April hingga 14 Oktober ini turut terpakai untuk pengguna tren Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral.
Beliau berkata, inisiatif ini ditawarkan bagi perjalanan pada setiap Isnin hingga Khamis sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan KTMB.
“Ia bagi memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di kementeriannya di Putrajaya hari ini.


