BARISAN Nasional (BN) berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu disuarakan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang bertekad mengekalkan penguasaan BN di kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN kekal terbuka untuk mengadakan perbincangan dan menjalin persefahaman dengan mana-mana pihak bagi menghadapi pilihan raya itu.
“Daripada 28 kerusi DUN di Melaka, Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Melaka memaklumkan kepada saya bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenangi BN.
“Sudah tentu akan ada musyawarah melibatkan semua pihak dan seperti yang dinyatakan Ketua Menteri Melaka, beliau amat terbuka dalam perkara ini.
“Kepimpinan BN di peringkat Pusat juga akan dirunding sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung sebarang bentuk persepakatan atau persefahaman yang bakal dicapai,” katanya.
Presiden UMNO itu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.
Pemerhati politik sebelum ini berkata, PRN Melaka dijangka diadakan seawal September depan bagi membolehkan BN memanfaatkan momentum kemenangan yang diraih dalam dua PRN berturut-turut di Johor dan Negeri Sembilan.
BN memenangi 21 kerusi DUN daripada keseluruhan 28 kerusi pada PRN Melaka ke-15. Ab Rauf sebelum ini memberi bayangan PRN Melaka boleh diadakan pada bila-bila masa susulan kejayaan pelaksanaan PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Ab Rauf dilaporkan berkata, buat masa ini tiada tarikh tepat untuk beliau bubarkan DUN kerana tempoh akhir penggal adalah pada 31 Disember depan.






