LIMA lelaki warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor selepas dipercayai menggunakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang telah tamat tempoh ketika bekerja di sebuah sangkar ikan di perairan Pulau Ketam, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dilakukan kira-kira jam 10.40 pagi dalam operasi bersepadu antara Maritim Malaysia dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Beliau berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memperkukuh pematuhan undang-undang di perairan negeri.
“Hasil pemeriksaan mendapati lima lelaki warga Indonesia berusia antara 19 hingga 35 tahun sedang bekerja di sangkar ikan berkenaan.
“Semakan lanjut mendapati kesemua mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Muhaimin berkata, pemeriksaan ke atas sangkar ikan itu bagaimanapun tidak menemukan sebarang pelanggaran di bawah Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999.
Menurutnya, semua suspek kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang tidak lagi sah.
Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bagi memastikan perairan Selangor tidak dijadikan lokasi pelanggaran undang-undang, termasuk penyalahgunaan dokumen imigresen oleh warga asing.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.






