JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyita sejumlah 45 motosikal seludup dari negara jiran dianggarkan bernilai RM3.6 juta termasuk cukai, sepanjang Januari hingga Jun lalu.
Daripada jumlah tersebut, 35 daripadanya membabitkan Yamaha RXZ yang mendapat permintaan tinggi untuk diseludup masuk ke negara ini.
Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, pihaknya percaya faktor permintaan tinggi mendorong motosikal khususnya jenis Yamaha RXZ itu diseludup ke Malaysia.
Beliau berkata, selain untuk mendapatkan alatan ganti, harga motosikal seludup yang lebih murah turut mempengaruhi permintaan motosikal terutama Yamaha RXZ untuk dibaiki semula, sebelum dijual pada harga lebih tinggi sehingga beberapa kali ganda.
“Biasanya promosi sama ada motosikal atau alat ganti dibuat menerusi media sosial.
“JKDM percaya pembelinya ramai dalam kalangan peserta acara RXZ Members yang diadakan setiap tahun memandangkan jumlah rampasan konsisten,” katanya dalam sidang media di Pasir Mas hari ini.
Berdasarkan maklumat, kesemua motosikal dari Thailand itu diseludup menerusi pangkalan haram di Sungai Golok sebelum disimpan di pelbagai lokasi termasuk bengkel, kawasan perumahan dan tempat letak motosikal sebelum diedarkan kepada pembeli.
Mengulas mengenai rampasan, beliau berkata, selain Kelantan, sebahagian daripada motosikal itu turut dirampas di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan JKDM Kelantan akan terus mempergiatkan usaha dan operasi bagi mengekang kegiatan penyeludupan ke negara ini.






