JKDM tumpaskan 5 sindiket, rampas pelbagai jenis dadah lebih RM300 juta sejak April

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan lima kes sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM300.72 juta, sejak April lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Amran Ahmad berkata, kelima-lima sindiket berkenaan menggunakan modus operandi yang hampir sama iaitu menyembunyikan dadah di dalam bungkusan produk lain dan membuat pengisytiharan palsu.

Beliau berkata, rampasan terbesar pada 2026 setakat ini membabitkan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang kira-kira jam 12 tengah hari 15 Jun lalu.

“Hasil pemeriksaan, pasukan menemukan sebanyak 18,870 kotak minuman yang mengandungi cecair disyaki dadah jenis heroin dianggarkan sebanyak 3,396.6 liter serta nilai dianggarkan RM169.83 juta.

“Dagangan ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Barat secara transit sebelum dihantar ke Australia sebagai destinasi akhir,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat cawangan Narkotik JKDM di Nilai hari ini.

Amran berkata, dalam kes kedua pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 41 kotak dagangan di sebuah syarikat logistik di KLIA Kargo, Sepang kira-kira jam 9.45 malam 18 Mei.

“Hasil pemeriksaan, pasukan mendapati 11 daripada 41 kotak mengandungi 269 bungkusan plastik lutsinar yang berisi tumbuhan hijau disyaki dadah jenis kanabis bud dianggarkan seberat 161.39 kilogram (kg) dan nilai dianggarkan RM12.91 juta.

“Sindiket mengikrarkan semua kotak dagangan sebagai makanan kering untuk dihantar ke Eropah. Dua individu warga tempatan iaitu ejen perkapalan berusia lingkungan 20-an dan 30-an direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelas beliau, kes seterusnya pihaknya menjalankan operasi pemantauan khas ke atas satu kotak bungkusan di Pos Malaysia International Hub (PMIH), KLIA, kira-kira jam 12.35 tengah hari 13 Mei lalu.

“Berdasarkan semakan alamat, kami menahan seorang warga asing bersama satu kotak parcel itu di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur dan menemukan serbuk putih disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggarkan seberat 2.68 kg.

“Hasil pemeriksaan di bilik hotel didiami suspek, dua lagi lelaki warga asing ditahan. Pemeriksaan premis itu turut menemukan pelbagai jenis dianggarkan seberat 3.43 kg serta bahan racun psikotropik dianggarkan seberat 0.0086 kg, nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM978,778,” katanya.

Katanya, bagi kes keempat, pihaknya menyita dagangan yang disyaki mengandungi dadah di sebuah gudang dalam Zon Perdagangan Bebas KLIA kira-kira jam 1.55 petang 12 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan terhadap lapan kotak yang disita, pasukan menemukan 98 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi pil disyaki dadah jenis MDMA dianggarkan seberat 220.30 kg dan nilai dianggarkan berjumlah RM33.045 juta,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kes kelima membabitkan pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat kira-kira jam 11.00 pagi 9 April lalu.

“Hasil pemeriksaan terhadap kontena itu, kami menemukan sebanyak 2,099 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi leraian tumbuhan hijau disyaki dadah jenis kanabis bud dengan anggaran berat 1,049.50 kg dan nilai dianggarkan berjumlah RM83.96 juta.

“Dagangan ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Tenggara secara transit sebelum cuba dieksport semula ke negara Eropah,” katanya.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img