JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 72 unit pelayan (server) dilengkapi kecerdasan buatan (AI) canggih dan cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, dengan nilai rampasan keseluruhan RM54.11 juta.
Pengarah Kastam JKDM KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, kejayaan itu hasil beberapa operasi penguatkuasaan di kawasan Zon Perdagangan Bebas bulan ini.
Katanya, 72 unit pelayan itu bernilai RM50.4 juta dengan cukai dianggarkan RM2.52 juta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan hampir RM53 juta.
“Pada 5 Jun lalu, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menjalankan pemeriksaan di sebuah gudang di Zon Perdagangan Bebas sebelum menemui 72 unit pelayan yang dibawa masuk dari sebuah negara Asia menggunakan satu Air Waybill.
“Siasatan awal mendapati server berkenaan dipercayai akan dieksport semula ke sebuah lagi negara di Asia sebelum semuanya disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di KLIA, Sepang hari ini.
Zulkifli berkata, server berkenaan disyaki tertakluk kepada transaksi membabitkan barang tidak tersenarai dan aktiviti terhad di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010 kerana mengandungi cip kecerdasan buatan berteknologi tinggi.
Katanya, sindiket mengikrarkan dagangan itu sebagai ‘komponen komputer’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain menggunakan Malaysia sebagai hab transit sebelum dihantar ke destinasi akhir.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Dalam kes berasingan, Zulkifli berkata, pihaknya merampas 4,760 kartrij cecair vape bernilai RM1.19 juta yang disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine.
Katanya, rampasan itu dilakukan pada 10 Jun lalu selepas anggota penguat kuasa merampas enam kotak berbalut plastik hitam di Ground Team Red (GTR), Zon Perdagangan Bebas yang diikrarkan sebagai ‘sparepart CPU‘ untuk dieksport ke sebuah negara jiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati kartrij vape itu disembunyikan di dalam casing CPU bagi mengaburi pihak berkuasa. Semakan awal mengesyaki cecair vape berkenaan mengandungi methamphetamine sebelum semua barang kes disita untuk tindakan lanjut,” katanya.
Zulkifli berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.






