Polis tumpas dua sindiket rokok seludup, vape haram bernilai RM12.7 juta

POLIS menumpaskan dua sindiket utama penyeludupan rokok tidak bercukai dan pengedaran vape haram menerusi dua operasi berasingan di Selangor yang membawa kepada rampasan keseluruhan bernilai lebih RM12.7 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejayaan itu dicapai menerusi Op Taring Alpha 3 dan Op Taring Alpha 1 yang dilaksanakan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.

Beliau berkata, Op Taring Alpha 3 yang dijalankan pada 28 Julai lalu menyerbu sebuah premis di Batu Caves, Gombak yang dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dan pengedaran produk vape di sekitar Lembah Klang.

“Hasil serbuan, lima individu diperiksa dan polis merampas 131,036 kotak produk vape, 4,900 botol cecair vape serta 25,510 peranti rokok elektronik pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM9.4 juta.

“Siasatan mendapati produk terbabit dipercayai melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, hari ini, lapor Harian Metro.

Mohd. Yusri berkata, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata, Op Taring Alpha 1 yang dilaksanakan sehari lebih awal di sebuah premis di Puchong pula berjaya menumpaskan sindiket penyimpanan, penjualan dan pengedaran rokok tidak bercukai.

“Tiga lelaki tempatan yang dipercayai menguruskan operasi sindiket itu berjaya diberkas selain polis merampas 166 karton mengandungi 1.66 juta batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.306 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurut beliau, WCB/PSK akan terus memperhebat operasi berasaskan risikan bagi membanteras penyeludupan barang larangan dan jenayah rentas sempadan sepanjang tahun ini.

Katanya, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai lalu, sebanyak 236 kes direkodkan dengan 411 individu ditahan, manakala nilai keseluruhan rampasan mencecah RM280.4 juta.

“Dalam tempoh sama, Op Taring Alpha 3 merekodkan 11 kes dengan lima tangkapan serta rampasan bernilai RM9.5 juta, manakala Op Taring Alpha 1 merekodkan lima kes dengan 10 tangkapan dan rampasan berjumlah RM6.1 juta.

“Kejayaan ini membuktikan penguatkuasaan berasaskan risikan serta kerjasama strategik bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, KPDN, Kementerian Kesihatan dan agensi penguat kuasa lain berjaya memperkukuh usaha menumpaskan sindiket jenayah terancang yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berhenti setakat membuat tangkapan dan rampasan, sebaliknya akan terus mengenal pasti, menjejak dan melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket termasuk dalang utama melalui risikan bersepadu, siasatan dan tindakan penguatkuasaan.

“Polis akan terus memperkukuh kerjasama strategik selain memanfaatkan risikan dan teknologi bagi meningkatkan kawalan sempadan serta memelihara keselamatan negara,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img