SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menitikberatkan penerapan nilai integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik sebagai pemangkin dalam membentuk generasi masa depan yang berintegriti, berakauntabiliti dan bebas daripada amalan rasuah.
Perkara itu dikongsikan Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika menerima lawatan akademik seramai 25 pelajar Fakulti Undang-Undang Universitas Negeri Semarang (UNNES), Indonesia ke pejabat SPRM Selangor di Shah Alam semalam.

Menurut Mohd Azwan, golongan muda memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan sesebuah negara, justeru nilai integriti perlu diterapkan sejak di institusi pengajian agar menjadi pegangan dalam kehidupan dan kerjaya mereka.
“SPRM bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan, malah turut komited memperkukuh usaha pendidikan dan pencegahan melalui program seperti ini bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah serta kepentingan membina budaya berintegriti.
“Saya berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang lawatan ini dapat meningkatkan kefahaman para peserta mengenai kepentingan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, seterusnya menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi yang beretika serta berintegriti dalam bidang masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup program.
Pada program berkenaan, pelajar UNNES diberikan taklimat mengenai fasiliti SPRM Selangor oleh pegawai SPRM Selangor, Hidayat Aziz sebelum mengikuti sesi taklimat bertajuk Practical Insights into Anti-Corruption Enforcement yang disampaikan Timbalan Pengarah Operasi SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim.
Taklimat itu menyentuh struktur organisasi SPRM, fungsi setiap bahagian serta peranan SPRM Negeri dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan.
Para pelajar turut didedahkan dengan aspek penyiasatan, pelaksanaan operasi serta inisiatif pencegahan rasuah sebelum sesi diakhiri dengan perbincangan dan soal jawab.
Yang turut hadir, Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Selangor, Rosmadi Kasim.






