KEMENTERIAN Digital menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan melancarkan Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 pada Sabtu ini sebagai platform memperluaskan akses rakyat kepada teknologi, kemahiran dan peluang menjana pendapatan menerusi ekonomi digital.
Program yang akan berlangsung di Dewan Komuniti Damansara Damai, Selangor itu menjadi lokasi pertama daripada lima siri jelajah di seluruh negara yang bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan komuniti bandar, pinggir bandar dan luar bandar.

MDEC dalam kenyataan berkata, Jelajah Malaysia Digital 2026 menjadi platform bagi memperluaskan akses rakyat kepada teknologi, kemahiran dan peluang menjana pendapatan menerusi ekonomi digital.
“Orang ramai boleh menghadiri program itu secara percuma dengan pelbagai pengisian disediakan termasuk sesi perkongsian industri, bengkel praktikal, demonstrasi robotik dan dron, permainan digital serta jualan secara langsung (live selling).
“Turut berlangsung adalah pameran usahawan tempatan, sesi jaringan bersama pemain industri serta pendaftaran bagi program latihan, keusahawanan dan kerjaya digital kendalian MDEC,” kata kenyataan dikeluarkan MDEC hari ini.
Selain itu, MDEC memaklumkan, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk di kaunter KWSP, pendaftaran MyDigital ID serta maklumat mengenai aplikasi MyGOV.
Katanya lagi, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) turut menawarkan pemeriksaan kenderaan persendirian secara percuma kepada 40 peserta yang membuat prapendaftaran, manakala ZUS Coffee menyediakan sehingga 400 cawan kopi percuma kepada pengunjung.
Menurut MDEC, JMD 2026 menyasarkan 500,000 capaian dan penglibatan rakyat secara fizikal serta dalam talian, khususnya dalam kalangan pelajar, belia, pencari pekerjaan, pekerja bebas dan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Empat fokus utama diketengahkan menerusi program itu iaitu literasi dan etika digital, kerjaya digital, pekerjaan bebas digital serta perniagaan dan keusahawanan digital. Peserta turut berpeluang meningkatkan kemahiran dalam bidang AI, robotik, kandungan kreatif dan pertanian pintar.
“Bagi golongan usahawan, pelbagai inisiatif seperti eUsahawan, Global Online Workforce (GLOW), live commerce, pemasaran digital dan e-Invois Nasional diperkenalkan bagi membantu memperkukuh operasi dan meluaskan pasaran perniagaan,” katanya lagi.
Selepas Selangor, siri JMD 2026 akan diteruskan ke Melaka, Kuching, Bagan Datuk dan Pahang sebagai usaha menyokong agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteraskan kecerdasan buatan (AI).






