Ismahalil Hamzah dipenjara 30 tahun, Mahkamah Rayuan sabit kesalahan edar dadah

BEKAS penyampai radio, Ismahalil Hamzah dipenjara 30 tahun selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.

Noorin memaklumkan hukuman penjara 30 tahun itu berkuat kuasa mulai hari ini.

Dalam penghakiman yang disampaikan Radzi, mahkamah mendapati terdapat alasan mencukupi untuk campur tangan terhadap dapatan Hakim Mahkamah Tinggi pada akhir kes pembelaan.

“Terdapat kekhilafan dalam menilai secara wajar keterangan pihak pembelaan dan mendapati pembelaan berjaya membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Sebaliknya, kami mendapati responden gagal membangkitkan keraguan munasabah dan gagal mematahkan anggapan bahawa pemilikan serta pengedaran dadah berada di bawah kawalannya.

“Pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan responden daripada pertuduhan,” katanya.

Mahkamah kemudian mensabitkan Ismahalil atas kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Peguam yang mewakili Ismahalil, Hermes Media Putra Ibrahim memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal keluarga.

“Saya memohon hukuman yang ringan berdasarkan faktor usia responden serta tanggungan keluarga yang perlu ditanggungnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Saya percaya umur responden melebihi 50 tahun menyebabkan hukuman sebatan tidak dikenakan, justeru saya mohon pertimbangan hukuman penjara,” katanya.

Pada 17 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Ismahalil, 53, daripada pertuduhan mengedar dadah selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Pengasas Bapakku FM itu didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada jam 5.35 petang, 27 Ogos 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang ketika itu memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img