BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengalami masalah jantung ketika rakaman percakapan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, dijadual menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker) petang ini.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad berkata prosedur itu akan dilakukan selepas Solat Jumaat sekitar 2 hingga 3 petang dan ketika ini Ahli Parlimen Bera itu sedang berpuasa sebagai persediaan menjalani prosedur berkenaan.
“Beliau kini berada di bawah pemantauan doktor. Kami berharap semua pihak mendoakan agar semuanya berjalan lancar dan Datuk Seri Ismail Sabri segera sembuh,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan lobi IJN hari ini.
Terdahulu, prosiding pendakwaan terhadap Ismail Sabri yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke IJN kerana masalah kesihatan.
Hakim Mahkamah Sesyen di sini Suzana Hussin menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke tarikh berkenaan selepas Amer Hamzah, yang mewakili Ismail Sabri, memohon penangguhan berikutan anak guamnya berada di IJN.
Amer Hamzah berkata pada peringkat awal terdapat cadangan agar pertuduhan terhadap Ismail Sabri dibacakan di IJN, namun pihaknya memaklumkan perkara itu tidak praktikal memandangkan anak guamnya itu perlu menjalani prosedur pemasangan perentak jantung dan berada di bawah pemantauan doktor.
“Biarkan beliau menjalani prosedur itu terlebih dahulu. Sebaik sahaja semuanya selesai dan keadaan beliau stabil, kami akan hadir ke mahkamah untuk menjawab pertuduhan terhadap beliau,” katanya sambil menambah ahli keluarga Ismail Sabri berada di IJN bagi menemaninya sepanjang menjalani rawatan.
Beliau berkata anak guamnya itu tetap berhasrat membersihkan namanya berhubung siasatan SPRM, namun keutamaan ketika ini ialah mendapatkan rawatan.
Menurut Amer Hamzah, berdasarkan maklumat diterima daripada SPRM, Ismail Sabri mula berasa pening ketika proses rakaman percakapan di ibu pejabat SPRM semalam sebelum dikejarkan ke IJN untuk pemeriksaan lanjut.
“SPRM mengambil tindakan segera membawanya ke IJN kerana setiap individu yang berada di bawah jagaan mereka ketika siasatan perlu dipastikan berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Beliau berkata Ismail Sabri dimasukkan ke Hospital Pantai kira-kira dua minggu lepas selepas terjatuh susulan jantungnya berhenti berdegup selama kira-kira dua saat dan dijadual menjalani pemeriksaan susulan Isnin depan.
Sebelum ini, Ismail Sabri, 66, dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan terhadap empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.






