CUBAAN menyeludup masuk 2,000 unit peranti rokok elektronik (vape) pakai buang bernilai RM160,000 melalui Sungai Golok gagal apabila dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi di bawah Jambatan Pulau Ular, Kota Bharu, semalam.
Rampasan dibuat selepas beberapa lelaki yang dipercayai menyeludup barangan berkenaan bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejayaan itu hasil rondaan bermotosikal yang dijalankan anggota PGA di kawasan sempadan.
“Anggota mengesan beberapa lelaki sedang memunggah kotak di tebing Sungai Golok.
“Apabila anggota cuba menghampiri mereka, semua suspek melarikan diri ke negara jiran dengan menggunakan perahu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kotak yang ditinggalkan menemukan sebanyak 2,000 unit peranti vape pakai buang.
Katanya, semua barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852),” katanya.






