Polis tembak mati dua suspek kes culik di Alor Setar

POLIS menembak mati dua suspek dipercayai warga asing dalam kejadian berbalas tembakan ketika serbuan untuk menyelamatkan mangsa culik, di Taman Amira, Alor Setar malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam apabila sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), JSJ Bukit Aman menjalankan serbuan di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ketika serbuan sebelum polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri sehingga keadaan terkawal.

“Dua suspek yang dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan jam 9.30 malam. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua suspek,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Kumar berkata, mangsa, masing-masing seorang lelaki warga asing berusia 70-an dan wanita warga asing berusia 30-an, ditemukan selamat dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari.

Katanya, dua pucuk senjata api, iaitu pistol semi-auto jenis Baretta yang mengandungi lima butir peluru dan revolver yang mengandungi empat butir peluru, serta sebilah parang panjang turut ditemui berdekatan suspek.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Susulan kejadian itu, Kumar berkata, polis menjalankan beberapa serbuan berasingan di beberapa lokasi di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Katanya, seramai enam individu ditahan, membabitkan seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga asing serta seorang perempuan warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an.

“Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat hari ini di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta dengan tujuan menyebabkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu sidang media berkaitan insiden berkenaan akan diadakan pada Isnin ini.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img