POLIS sedang giat mengesan seorang lelaki yang dipercayai bertindak memukul dan mengugut seorang pelanggan selepas berang ditegur kerana memotong barisan ketika membuat pembayaran di sebuah kedai serbaneka di Mutiara Subang, Shah Alam baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kelmarin daripada mangsa yang mendakwa mengalami kecederaan serta diugut oleh suspek.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila mangsa menegur tindakan lelaki terbabit yang memotong barisan ketika membuat pembayaran.
“Tidak berpuas hati dengan teguran itu, suspek dipercayai bertindak memukul dan mengugut mangsa sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis kini menjalankan usaha mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Shamie Yosup di talian 013-646 3069 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.
Maklumat juga boleh disalurkan dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular dalam media sosial satu rakaman video dipercayai dirakam mangsa yang memaparkan seorang lelaki membuka baju sambil melakukan provokasi.





