Kepala air Sungai Pertak: SAR tiga mangsa hilang tertumpu di jambatan, empangan

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) tiga lelaki yang masih hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Pertak, Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu diteruskan hari ini dengan tumpuan pencarian di kawasan jambatan dan empangan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, ketiga-tiga mangsa terdiri daripada seorang warga Yaman dan dua warga India masih belum ditemukan setakat jam 8 pagi ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat meneruskan pencarian menerusi kaedah pemerhatian di permukaan air, khususnya di sektor C yang meliputi kawasan jambatan dan sektor D berhampiran empangan.

“Operasi hari ini memberi tumpuan di kedua-dua sektor berkenaan dengan menggunakan bot serta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.

“Pasukan K9 dan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) akan memulakan pencarian dari sektor B iaitu kawasan kuala empangan sebelum bergerak ke bahagian hulu sungai bersama Malim Gunung Perhutanan (MGP) Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pula meneruskan pencarian di sektor A membabitkan kawasan Lata Jebus hingga Lubuk Pertak.

Dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian di sektor C dan D.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang kelmarin, lapan lelaki dihanyutkan arus deras ketika berada di kawasan Lata Jebus.

Daripada jumlah itu, lima mangsa ditemukan lemas semalam, manakala tiga lagi masih hilang.

Mangsa pertama, V. Vijayan, 36, warga tempatan ditemukan kira-kira jam 1.30 pagi di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian.

Empat lagi mangsa ditemukan pada pagi hari sama, dengan tiga daripadanya dijumpai kira-kira 9.20 pagi di kawasan Jambatan Senget, kira-kira 950 meter dari Lata Jebus manakala seorang lagi ditemukan pada 10.12 pagi di kawasan Jambatan Gantung, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Dua daripada mangsa dikenal pasti sebagai Kapali, 49, warga Nepal dan Kunjanmalayil Bhaskaran, 35, warga India, manakala identiti dua lagi lelaki warga India dan Sri Lanka belum dikenal pasti.

Tiga mangsa yang masih hilang ialah Al Maamari Ahmed Hadi Ali, 20, warga Yaman; Chinnasamy Duraimurugan, 36, dan Monikkoth Raghunath, kedua-duanya warga India.

Seramai 34 individu daripada empat kumpulan terbabit dalam kejadian itu. Selain lapan lelaki yang dihanyutkan arus, 26 lagi berjaya menyelamatkan diri atau diselamatkan anggota bomba.

Kesemua lima mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here